IPOH – Polis Perak telah mengenal pasti beberapa lokasi panas yang berisiko berdepan kekecohan ekoran pertembungan ‘nama-nama besar’ pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, kekuatan anggota di lokasi berkenaan juga akan ditambah bagi meningkatkan pemantauan dan kawalan.
“Kita sudah kenal pasti (lokasi panas ini) dengan bantuan Cawangan Khas namun perincian berapa lokasi dan di mana, akan dimaklumkan kemudian.
“Apa pun, kita telah membuat persiapan dan bersedia untuk berhadapan dengan apa juga kemungkinan.
“Kita akan menambahkan keanggotaan untuk memastikan proses pilihan raya kali ini berjalan lancar dan teratur mengikut peraturan dan undang-undang daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis,” katanya ketika ditemui pada program pelupusan barang kes Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, semua parti politik mahupun calon yang bertanding diminta menasihati penyokong masing-masing agar mematuhi peraturan dan arahan pihak berkuasa.
“Insya-Allah dengan kerjasama rapat bersama SPR dan agensi lain, pilihan raya ini dapat dijalankan dengan lebih matang dan berdisiplin,” katanya.
Tambah Mohd. Yusri, seramai 7,343 pegawai dan anggota polis Perak ditugaskan sepanjang PRU15 dengan 1,401 daripadanya diatur gerak bagi operasi khas bencana alam dan banjir. – KOSMO! ONLINE