KUALA LUMPUR – Bagi menyokong usaha kerajaan membantu rakyat, seramai 470 pelajar menikmati pembiayaan tajaan syarikat utiliti negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi empat kategori berbeza pada tahun ini.
Pengerusi TNB, Datuk Seri Hasan Arifin menegaskan, pihaknya komited menyokong usaha kerajaan membantu rakyat melalui pelbagai inisiatif, terutamanya membangunkan potensi generasi muda dan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui peluang pendidikan berkualiti.
“Pada tahun ini, 60 penerima TNB Prime Scholarship; 30 penerima TNB Shine Sponsorship; 10 penerima Biasiswa Khas TNB serta 370 pelajar lagi adalah penerima Dermasiswa My Brighter Future (MyBF) dalam kalangan golongan berpendapatan rendah B40.
“Selain itu, lebih 6,200 pelajar tajaan Yayasan Tenaga Nasional (YTN) sedang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) dengan biaya sebanyak RM100 juta merangkumi antaranya yuran pendaftaran, pengajian, elaun sara hidup bulanan dan elaun komputer,” katanya dalam satu kenyataan hari ini
Menurut Hasan, adalah menjadi hasrat TNB untuk memberi sumbangan bermakna kepada pembangunan komuniti dan peluang pendidikan terbaik kepada rakyat.
“Peluang ini lebih tertumpu terutamanya golongan berpendapatan rendah selari dengan inisiatif Peralihan Tenaga TNB yang berteraskan Alam Sekitar Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
“TNB melalui YTN menawarkan biasiswa kepada anak-anak Orang Asli untuk mengikuti pengajian peringkat diploma dalam bidang perakaunan dan pengajian bisnes di UNITEN Muadzam Shah tahun ini.
“Saya percaya jika diberi peluang penajaan di samping dibimbing oleh tenaga pengajar yang berkualiti, anak-anak ini mampu untuk berjaya, seterusnya membina kehidupan lebih baik untuk keluarga dan masyarakat keseluruhan,” katanya.
Selain pembiayaan kewangan, YTN turut menyediakan program-program pembangunan untuk pelajar tajaan dengan hasrat membangunkan potensi mereka dari sudut kemahiran insaniah dan kepimpinan.
Kini, lebih 20,000 pelajar mendapat manfaat meneruskan pengajian di IPT masing-masing melalui pelbagai pembiayaan pendidikan oleh TNB berjumlah lebih RM1.7 bilion sepanjang 20 tahun lalu sejak penubuhan YTN pada 1993. – KOSMO! ONLINE