fbpx

PRU15: UMNO tolak calon ‘besar kepala’ jadi pemimpin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Zahid.

PETALING JAYA – Lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5 UMNO) memberi jaminan calon yang dipilih nanti merupakan pemimpin yang mempunyai disiplin tinggi, tidak ‘besar kepala’ serta berani mempertahankan parti itu daripada diperlekehkan.

Jaminan itu dinyatakan sendiri Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan turut memaklumkan bahawa calon yang dipilih juga tidak akan bersuara sumbang terhadap kepimpinan mereka sendiri, selain mempunyai sokongan akar umbi yang kuat tanpa mengira tempat bertanding.

Jelas Ahmad Zahid, parti itu memerlukan wakil rakyat yang terpilih nanti mempunyai jati diri UMNO yang teguh.

Selain itu kata beliau, wakil rakyat itu juga tidak mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang sentiasa mahu proksi memperkotak-katikkan UMNO menggunakan suara pemimpin dalaman parti.

“UMNO mahu yang dipilih menjadi calon benar-benar meletakkan perjuangan parti di hadapan dan bukannya perjuangan individu melebihi parti.

“Mana-mana ‘besar kepala’, berasa dirinya lebih besar daripada perjuangan parti sewajarnya tahu kedudukan dirinya,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Penyandang Ahli Parlimen Bagan Datuk menambah, pemilihan calon UMNO bagi pilihan raya kali ini juga sangat mustahak.

“Tugas ini amat mencabar bagi Top 5, namun bagi kestabilan politik masa depan, keharmonian parti, disiplin parti agar pisang tidak berbuah dua kali.

“Maka kali ini UMNO amat serius bagi memastikan calon terbaik tersebut mempunyai jiwa dan roh UMNO yang luhur,”ujarnya.

Mengulas lanjut beliau memberitahu, banyak yang telah dipelajari oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) daripada kekalahan pada 2018 terutamanya mengenai kesetiaan terhadap parti.

Ketika itu katanya, BN diuji apabila ramai pemimpin UMNO lari lintang-pukang menyelamatkan diri, ada yang melompat parti, ada yang menjadi pengkhianat parti, terdapat juga menjauhi diri daripada UMNO.

“Ini perit bagi UMNO, tetapi ia juga merupakan suatu hikmah kepada parti. Pembersihan dalaman UMNO berlaku secara automatik apabila golongan oportunis ini dapat dikenal pasti melalui sikap, kenyataan dan tindak tanduk mereka.

“Sekurang-kurangnya ini dapat menjadi petunjuk arah penting dalam konteks pemilihan calon BN,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI