KOTA TINGGI – Satu kebakaran dan letupan melibatkan satu paip penyambung telah berlaku di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) petang tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Penolong Kanan Penguasa Bomba Masri Ibrahim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 4.12 petang.
Katanya, ekoran itu seramai tujuh anggota dengan tiga buah jentera telah dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kebakaran melibatkan penyambungan pada saluran paip untuk projek N-OSBL. Pemadaman telah dilakukan anggota Central Emergency and Fire Services Response (CEFS) sebelum pihak bomba tiba di lokasi dan dapat dikawal pada jam 4.23 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Masri berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Sementara itu, Petronas Refinery and Petrochemical Corporation Sdn Bhd (PRPC) dalam satu kenyataan memaklumkan kejadian berkenaan berlaku pada pukul 3.40 petang.
“Pihak CEFS telah bertindak pantas memadam kebakaran daripada merebak dan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya pada pukul 4.50 petang.
“Tiada kemalangan jiwa dan kejadian tidak menjejaskan atau memberi ancaman kepada masyarakat sekitar,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE