JAGUH perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia belum berpuas hati dengan pencapaiannya walaupun berjaya menduduki ranking No. 2 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Zii Jia, 24, menjelaskan, dia masih lagi berusaha memperbaiki kelemahan permainan terutama selepas tersingkir di pusingan pertama Terbuka Perancis di Paris kelmarin.
Juara Asia itu tewas straigh-set 19-21, 18-21 kepada pemain ranking ke-24 dunia dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito pada aksi yang berlangsung di Stade Pierre de Coubertin.
“Saya melakukan banyak kesilapan dan juga tidak sabar. Walaupun saya pemain No.2 dunia sekarang tetapi saya belum berpuas hati dengan apa yang diraih.
“Saya masih berusaha memperbaiki kelemahan. Ada juga beberapa aspek dalam permainan yang saya perlu tingkatkan ke tahap lebih tinggi,” katanya yang dipetik daripada laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Kekalahan di pusingan awal itu menyaksikan Zii Jia gagal mengulangi kejayaannya muncul naib juara Terbuka Denmark di Odense minggu lalu.
Lebih malang, ia adalah kekalahan kedua berturut-turut pemain dari Alor Setar, Kedah itu kepada Rhustavito selepas tewas 19-21, 21-19, 16-21 di pusingan kedua Terbuka Malaysia pada Jun lalu.
Bagaimanapun, Zii Jia berpeluang menebus kekecewaannya pada kejohanan seterusnya iaitu Terbuka Hylo di Saarbrucken, Jerman bermula 1 hingga 6 November ini.