BANGKOK – Polis Diraja Thailand merampas 263 laras senjata api dan 1,702 butir peluru di lapan wilayah di selatan negara itu dalam tempoh 15 hari pada bulan ini, lapor laman berita Thaiger semalam.
Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha mengarahkan tindakan keras terhadap pemilikan senjata api secara haram susulan kes pembunuhan beramai-ramai di sebuah pusat jagaan kanak-kanak di wilayah Nong Bua Lamphu awal bulan ini.
Antara 10 hingga 24 Oktober lalu, polis merampas 263 senjata api di lapan wilayah termasuk Krabi, Chumphon, Nakhon Sri Thammarat, Phang Nga, Phuket, Ranong dan Surat Thani.
Polis melakukan 363 tangkapan dan merampas 260 senjata api biasa, tiga senjata api skala perang dan 1,702 butir peluru.
Komander Polis Wilayah 8, Surapong Thanomjit memaklumkan bahawa senjata api itu sering digunakan dalam kes-kes jenayah di Thailand.
Menurut Surapong, senjata api adalah masalah besar yang menyebabkan kehilangan nyawa pada setiap hari dan membawa ketakutan kepada penduduk.
Beliau menjelaskan bahawa pasukan itu membanteras pemilikan senapang secara haram atas arahan Prayut yang turut mengisytiharkan tindakan keras terhadap dadah terutamanya methamphetamine.
Pada 25 Oktober lalu, seorang pegawai polis SWAT melepaskan 11 das tembakan ke arah seorang lelaki di sebuah kelab malam di wilayah Trang, selatan Thailand. Dia membunuh seorang lelaki dan mencederakan dua lagi sebelum melarikan diri.
Thailand menduduki tempat ke-15 dalam senarai negara dengan jumlah kematian berkaitan senjata api tertinggi di dunia dan ke-2 di Asia Tenggara selepas Filipina, demikian menurut laman World Population Review.
Thailand mempunyai pemilikan senjata api tertinggi di Asia Tenggara kerana mudah dibeli secara sah atau haram. Antara 10,342,000 senjata api direkodkan di Thailand pada 2017, 6,221,180 didaftarkan secara sah dan selebihnya adalah senjata api haram. – Agensi