fbpx

Fitnah pembangkang menjadi-jadi musim PRU15

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL Sabri bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disambut oleh jentera BN pada Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Pahang di Dataran Kerayong di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua jentera Barisan Nasional (BN) perlu bertindak segera menangkis serangan fitnah pembangkang yang semakin menjadi-jadi dalam musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, antaranya ialah fitnah yang mendakwa kononnya kerajaan gagal menguruskan ekonomi dengan baik sedangkan pertumbuhan ekonomi negara terbukti adalah terbaik di Asia Tenggara.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara adalah sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 berbanding 5.0 peratus pada suku pertama 2022, ia jauh lebih baik daripada China sebanyak 0.4 peratus, Amerika Syarikat 1. 6 peratus, Korea 2.9 peratus, kesatuan Eropah (4 peratus) dan Singapura 4.4 peratus.

“Tetapi pembangkang tuduh gagal (menguruskan ekonomi negara) dan kalau tidak dijawab akhirnya rakyat percaya fitnah kita gagal,”katanya ketika berucap pada Majlis Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran serta pelancaran jentera Barisan Nasional (BN) Pahang di Dataran Kerayong di sini hari ini.

Tambahnya, kejayaan itu diiktiraf oleh Bank Dunia yang telah menyemak semula unjuran KDNK bagi 2022 kepada 6.4 peratus berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lalu.

Menurut Ismail Sabri ekonomi negara berada pada landasan yang betul menyaksikan pelaburan langsung asing (FDI) pada separuh pertama 2022 mencatat aliran langsung bersih lebih tinggi bernilai RM41.7 bilion berbanding aliran masuk bersih RM48.1 bilion sepanjang 2021.

Katanya, perdagangan Malaysia juga mengekalkan trend peningkatan pada September 2022 apabila melonjak 31.4 peratus kepada RM256.91 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Kadar pengangguran menurun untuk 12 bulan berturut-turut iaitu 3.7 peratus pada Ogos 2022 berbanding 4.6 peratus pada Ogos 2021 manakala kadar inflasi negara ialah 4.5 peratus dalam bulan September 2022 lebih rendah berbanding negara serantau,”katanya.

Sementara itu Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO berkata, selepas Pilihan Raya Umum ke-14 tiada lagi istilah gerenti menang bagi mana-mana calon atau parti yang bertanding dalam pilihan raya.

Justeru katanya, semua parti perlu bekerja kuat memaskikan kemenangan parti dalam setiap kerusi yang dipertandingkan sama ada Dewan Undangan Negeri atau Parlimen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI