fbpx

Penumpang pesawat Lion Air JT 330 menangis ketika enjin terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Video tersebut memaparkan situasi cemas dari dalam pesawat Lion Air yang terbakar. – TikTok @henrypaopao

JAKARTA – Sebuah klip video tular memaparkan detik pesawat Lion Air JT 330 yang terbakar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta, semalam, dengan rakaman menunjukkan keadaan cemas penumpang di  ruang kabin, lapor laman berita Berita Hits hari ini.

Rakaman tersebut memperlihatkan situasi penumpang dengan ramai yang menangis ketika pesawat itu berada pada ketinggian 914 meter di udara.

Menurut laporan, selepas kira-kira 15 minit terbang di udara, pesawat membawa enam kru dan 169 penumpang itu tiba-tiba mengeluarkan bunyi letupan kuat dan disusuli percikan api yang membakar enjin kirinya.

“Keadaan di dalam pesawat menjadi terlalu panas,” demikian menurut keterangan pada video yang dikongsikan dalam aplikasi  TikTok itu.

Video itu turut memaparkan keadaan di dalam kabin menjadi gelap dan disusuli bunyi tangisan penumpang wanita yang panik.

“Di dalam pesawat sudah ramai wanita yang menangis kerana panik, namun saya tidak sempat merakam kerana saya juga panik,” kata perakam tersebut.

Pesawat dari Jakarta ke Palembang itu bagaimanapun bernasib baik kerana sempat berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Bunyi tangisan juga bertukar menjadi laungan kesyukuran sejurus ia mendarat dengan selamat, dengan para penumpang memberi tepukan kepada juruterbang.

“Ucapan terima kasih kepada juruterbang yang berjaya mendaratkan pesawat dengan selamat walaupun ia tergelincir selepas mendarat,” kata individu tersebut.

Sementara itu, pegawai Komunikasi Korporat Strategik Lion Air, Danang Mandala Prihantoro dalam satu kenyataan akhbar berkata, pesawat JT 330 itu berada dalam keadaan baik ketika diperiksa sebelum berlepas.

Namun, ketika ia berada pada ketinggian 914 meter, juruterbang dapat merasakan bahawa prestasi salah satu komponen enjin pesawat bermasalah dan perlu diperiksa secepat mungkin.

“Atas faktor keselamatan, juruterbang memutuskan untuk kembali ke lapangan terbang di Jakarta,” katanya.

Siasatan mengenai punca kebakaran akan dilakukan. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI