PUTRAJAYA – Aktiviti di lapangan berkaitan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) dan survei rutin Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tetap dilaksanakan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) berikutan peningkatan penularan Covid-19 di negara ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pelaksanaan aktiviti di lapangan diteruskan melibatkan edaran poskad ID e-Census, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi terpilih.
Mohd. Uzir yang juga Pesuruhjaya Banci 2020 berkata, DOSM juga telah mengambil tindakan penyesuaian semula pelaksanaan Banci 2020 antaranya bagi Fasa Kedua iaitu secara bersemuka yang dirancang pada 7 hingga 24 Oktober, telah dijadualkan semula kepada 20 Januari hingga 6 Feb tahun depan.
“Dengan penjadualan semula tersebut, Banci 2020 Fasa Pertama secara dalam talian iaitu e-Census telah dilanjutkan sehingga 21 Disember ini melibatkan prapendaftaran bagi pengisian e-Census dibuka semula bermula 7 Oktober hingga 30 November depan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Pada masa sama, Mohd. Uzir berkata, kenyataan yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp kononnya tidak lagi dibenarkan aktiviti banci secara bersemuka dari rumah ke rumah oleh kerajaan, penyelia serta pembanci sehingga hujung tahun ini adalah palsu.
Justeru, Mohd. Uzir menyeru orang awam agar memberi kerjasama menjayakan Banci 2020 dan survei yang dilaksanakan di samping mengambil langkah berjaga-jaga bersesuaian dengan situasi semasa.
“Ini termasuk memanfaatkan Banci Dalam Talian (e-Census), penggunaan e-survei dan temu ramah melalui telefon atau Computer Assisted Telephone Interview (CATI),” katanya. -K! ONLINE