fbpx

Festival Paluang Gendang, Tari Joget Pahang di Teluk Intan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUAT julung kalinya WAFA Gallery akan menganjurkan Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 pada 28 hingga 30 Oktober 2022 bertempat di Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Festival diadakan bagi menyemarakkan lagi seni dan budaya melalui dana geran sepadan sumbangan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) kepada WAFA Gallery dengan kerjasama Persatuan Penulis Peminat Sastera Perak serta JKKN Perak.

Malam Gala Festival Paluan Gendang Malaysia & Tari Joget Pahang 2022 yang akan berlangsung pada 29 Oktober (Sabtu) pukul 8.30 malam esok akan dirasmikan Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan MOTAC, Dr. Tan Awang Besar selaku tetamu kehormat.

Terbuka dan percuma kepada semua rakyat Malaysia, Pengarah Urusan WAFA Gallery, Syed Yusof Wafa berkata, penganjuran festival diharapkan membawa satu pendedahan buat generasi baharu untuk lebih mengenali dan mencintai budaya peninggalan datuk nenek moyang yang sepatutnya dibanggakan dan bukannya dilupakan.

“Pada malam tersebut, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan Raja Syair Nusantara, Roslan Madun yang akan menghiburkan penonton dengan dendangan syair serta lagu rakyatnya yang cukup popular sekarang ini iaitu, Lemak Manis.

“Komposer popular Kamrul Hussin atau lebih dikenali Waklong akan bertindak sebagai Pengarah muzik dan akan mempamerkan persembahan unik pukulan gendangnya. Manakal Izz Hairy pula bertindak sebagai pengarah persembahan.

“Penyanyi Jamilah Abu Bakar yang popular dengan lagu berirama tradisional, zapin dan keroncong akan tampil dengan lagu Sayang Di Sayang  dan Cikgu Meera atau nama sebenarnya Nur Ameera Nabila Azmi dengan lagu Rindu Merindu. Jamilah dan Cikgu Meera juga akan berduet menyanyikan lagu popular nyanyian Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Nirmala dan Kurik Kundi.

“Festival ini dapat menyemarakkan lagi seni budaya serta menonjolkan keunikan seni pergendangan daripada pelbagai kaum yang terdapat di Malaysia serta memperkenalkan joget Pahang kepada golongan generasi muda.

“Ucapan terima kasih juga diucapkan kepada MOTAC yang menyediakan dana bagi penggiat seni untuk terus berkarya. Langkah ini juga dapat membantu mereka kembali aktif selepas dua tahun berhadapan dengan Covid-19,” jelas Syed Yusof Wafa.

Selain joget Pahang, penonton juga akan dihiburkan dengan persembahan tarian India dan Cina. Untuk menikmati makanan yang enak dan lazat, foodtruck juga turut berada di sekitar kawasan Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Pertunjukan Buskers, silat dan senamrobik juga akan turut diadakan. Diharap semua pengunjung tak kira di Perak mahupun dari luar akan beramai-ramai memeriahkan festival ini. Inilah masa untuk anda bersama keluarga sesuai dengan slogan Keluarga Malaysia untuk mengenali dengan lebih dekat lagi seni dan budaya masyarakat majmuk di Malaysia. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI