fbpx

Peluang Varane ke Qatar makin tipis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
VARANE mengalami kecederaan ketika menentang Chelsea dan terpaksa berehat untuk tempoh enam minggu. – AFP

MANCHESTER – Peluang tonggak pertahanan Manchester United, Raphael Varane beraksi di pentas Piala Dunia Qatar 2022 bermula 20 November ini dilihat sangat tipis.

Ia susulan kenyataan pengurus United, Erik Ten Hag yang menjelaskan Varane, 29, terpak­sa diketepikan selama enam ming­gu bagi menjalani proses pemulihan terhadap kecederaan dialaminya.

Bek tengah itu menangis meninggalkan padang selepas mengalami kecederaan ketika menentang Chelsea pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berkesudahan seri 1-1 di Stamford Bridge minggu lalu.

“Varane terpaksa berehat dan tidak akan bermain semua perlawanan United sehingga Piala Dunia.

“Saya juga tidak boleh memberi jaminan sama ada dia boleh bersama Perancis di Piala Dunia nanti. Apa-apa pun kami perlu menunggu keputusan pasukan perubatan.

“Kami perlu melihat bagaimana proses pemulihannya berjalan selepas ini dan kemudian barulah kami boleh membuat keputusan dengan lebih jelas,” kata Ten Hag.

Jika Varane terlepas Piala Dunia 2022, ia memberikan tamparan besar kepada pengendali Perancis, Didier Deschamps yang diundi dalam Kumpulan D bersama Denmark, Australia dan Tunisia.

Begitupun, kecederaan Vara­ne secara tidak langsung membuka peluang kepada seorang lagi pemain pertahanan yang juga kapten United, Harry Maguire untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

Situasi itu dilihat kembali menghidupkan peluang Maguire untuk terpilih dalam skuad England bimbingan Gareth Southgate ke Qatar bulan depan. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI