WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mendesak tindakan keras ke atas Myanmar ketika para menteri luar Asia Tenggara bersedia bermesyuarat bagi mencari cara untuk menangani negara yang dikuasai junta tentera itu.
Menteri-menteri luar Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) mengadakan mesyuarat tergempar di Jakarta semalam berhubung isu Myanmar, menjelang sidang kemuncak ASEAN dan Asia Timur di Kemboja pada 10 hingga 13 November ini.
Diplomat kanan AS untuk Asia Timur, Daniel Kritenbrink berkata, junta yang merampas kuasa pada Februari 2021 sedang menghancurkan segala kemajuan yang dicapai sepanjang dekad lalu ketika Myamar melalui peralihan kepada demokrasi.
“Kekejaman junta termasuk membunuh orang awam, mengebom sekolah, membunuh aktivis dan memenggal kepala guru.
“Kami tidak akan duduk sahaja dan melihat keganasan ini berterusan. Kami tidak akan berputih mata melihat junta Myanmar melakukan persiapan untuk mengadakan pilihan raya palsu dan penipu pada tahun depan.
“Saya fikir apa yang anda akan lihat daripada AS pada sidang kemuncak Asia Timur adalah gesaan lebih tegas untuk melaksanakan tekanan lebih keras ke atas junta tentera Myanmar,” katanya semasa berucap di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington.
Sehingga kini, Konsensus Lima Perkara oleh ASEAN gagal mencapai sebarang kemajuan sejak April lalu. Pelan itu antara lain menggesa keganasan di Myanmar ditamatkan, meningkatkan bantuan kemanusiaan di samping mengadakan dialog antara tentera dan gerakan antikudeta.
Kritenbrink berkata, AS mempunyai ‘penghormatan besar’ kepada Asia tetapi menambah bahawa Setiausaha Negara, Antony Blinken menyuarakan rasa kesal pada Ogos lalu berhubung kegagalan mencapai kemajuan tentang isu Myanmar. – AFP