KUALA SELANGOR – Kerajaan tidak bercadang mengembalikan semula pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) ketika ini walaupun merupakan langkah terbaik menambah pendapatan negara.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menjelaskan mekanisme cukai itu memerlukan perbincangan di peringkat Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen.
Kata beliau, GST yang dipraktikkan di lebih 160 negara nyata berkesan bagi menjana pendapatan lebih stabil selain pengurusan cekap dan berkesan.
“Cukai itu terbukti lebih efisyen dan mengurangkan ketirisan dalam sesebuah negara.
“Malah, membantu pembangunan negara sekali gus turut membantu kehidupan rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kuala Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas isu digunakan pembangkang sebagai ‘modal’ untuk berkempen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kata Tengku Zafrul, kutipan cukai negara kini kurang 11 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan paling rendah di Asia Tenggara berbanding sebelumnya.
“Namun, perkara itu tidak bermakna kita perlu melaksanakan GST dalam masa terdekat. Apa yang penting adalah ia bukan membebankan rakyat dalam jangka masa panjang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan tetap diteruskan sekiranya kerajaan sedia ada kekal mentadbir negara ini.
“Ini termasuk fasa terakhir bantuan itu pada Disember ini yang akan disalurkan mengikut jadual ditetapkan.
“Niat kerajaan adalah mahu terus membantu meringankan beban rakyat terutama dalam ekonomi tidak menentu,” katanya. – KOSMO!ONLINE