fbpx

Barcelona bungkam aksi di Camp Nou

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARCELONA gagal melepasi saingan peringkat kumpulan buat kali kedua berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Bayern awal pagi semalam. – AFP

BARCELONA – Pengendali Barcelona, Xavi Hernandez me­ngakui kecewa selepas me­nyaksikan pasukannya gagal melayakkan diri ke peringkat 16 terbaik saingan Liga Juara-Juara selepas tewas 0-3 kepada Bayern Munich awal pagi semalam.

Kekalahan tersebut menyaksikan skuad The Catalans ter­singkir di peringkat kumpulan sai­ngan bola sepak paling berprestij Eropah buat kali kedua berturut-turut dengan Bayern dan Inter Milan mendominasi Kumpulan C musim ini.

Kata Xavi, pasukannya gagal mempamerkan prestasi yang diharapkan selepas mengetahui Inter berjaya menewaskan Viktoria Plzen pada perlawanan yang dilangsungkan lebih awal semalam.

“Saya lihat pemain gagal me­nunjukkan karakter yang dituntut mungkin kerana kita sudah mengetahui keputusan melibatkan Inter dan Plzen yang mana apa sahaja keputusan diraih, ia tidak memberi sebarang makna.

“Secara keseluruhan, saya anggap pasukan kami masih belum bersedia untuk bersaing di peringkat tertinggi dengan me­lakukan banyak kesilapan mudah sehingga membuka ruang buat lawan meledak tiga gol kali ini,” katanya.

Pada aksi tersebut, Bayern tidak mempunyai masalah untuk meraih tiga mata berharga hasil ledakan Sadio Mane, Eric Choupo-Moting dan Benjamin Parvard.

Sementara itu, pemain tengah The Catalans, Pedri turut senada dengan Xavi sambil menyifatkan pasukan masih belum mampu untuk mencabar kelab-kelab elit Eropah ketika ini.

“Ini adalah satu malapetaka buat pasukan. Namun, pasukan juga harus bersikap realistik ke­rana buat masa ini jelas barisan pemain masih belum mampu memberi cabaran di peringkat tertinggi,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN