KUALA LUMPUR – Dijamin layanan istimewa dengan hanya menunjukkan kad keahlian kepada penguat kuasa sekiranya berlaku masalah atau ditahan di jalan raya.
Itulah taktik sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai Biro Komuniti Cegah Jenayah yang menjalankan penipuan bagi menarik orang lain menyertai pertubuhannya sejak 2013.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, kegiatan itu didedahkan apabila menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan, Sabtu lalu.
Katanya, laporan itu dibuat oleh mangsa selepas mengalami kerugian sebanyak RM17,000 kerana ditawarkan menjual meja makan sempena majlis perdana yang dianjurkan oleh NGO terbabit.
“Siasatan awal mendapati, dua suspek mempelawa mangsa menyertai NGO sebagai Ahli Kehormat Biro Cegah Jenayah Malaysia diikuti dengan pelbagai faedah menarik dengan yuran ahli sebanyak RM2,200.
“Ahli berdaftar akan memiliki sehelai baju T, topi, pelekat kenderaan, dua emblem, sekeping kad kuasa dan kad ahli yang memiliki logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan Kementarian Dalam Negeri (KDN),” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Susulan itu, katanya, lima lelaki berusia 32 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu hingga Selasa lalu dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Ujarnya lagi, polis turut merampas 19 baju T, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem kenderaan dan lapan kad pelbagai jenis serta acuan cetakan.
“Semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan menyamar sebagai penjawat awam.
“Dua suspek direman bermula 25 Oktober lalu, manakala tiga lagi dibebaskan bagi tujuan saksi pendakwaan. Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE