fbpx

Remaja ditemui lemas selepas 42 jam hilang seberangi Sungai Gong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba menutup mayat menggunakan beg mayat sebelum diserahkan kepada polis

KUALA SELANGOR – Penantian dua beranak terhadap seorang ahli keluarganya yang hanyut ketika menyeberangi Sungai Gong, Rawang dekat sini selepas memancing sejak dua hari lalu berakhir apabila ditemui lemas, hari ini.

Mayat Muhammad Alif Fahmi Abdullah, 16, ditemui lengkap berpakaian kira-kira pukul 2.30 petang oleh pasukan bomba di kawasan perangkap sampah berhampiran Selangor Fruit Valley (SFV), Bestari Jaya.

Mayat remaja itu ditemui dalam tempoh 42 jam selepas dilaporkan hilang pukul 8.07 malam kelmarin dengan jarak 10 kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, berdasarkan maklumat awal kejadian tersebut melibatkan tiga ahli keluarga yang hanyut ketika cuba menyeberangi sungai selepas aktiviti memancing.

Katanya, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 8.07 malam Selasa lalu dengan 10 anggota termasuk pegawai bersama sebuah bot dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang telah digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.

Dua mangsa masing-masing dikenali Che Azmi Che Hussin, 45 dan anaknya, Mohammad Faiz Iqbar, 15, berjaya diselamatkan pemancing lain yang kebetulan berada di lokasi tersebut dan tidak mengalami kecederaan.

“Manakala, seorang lagi mangsa yang merupakan anak tiri kepada Che Azmi hilang dibawa arus deras.

“Bomba kemudiannya melakukan pencarian di dasar bagi menemukan remaja lelaki tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Norazam, pencarian kemudiannya diteruskan pada hari ini dengan kekuatan 16 anggota termasuk dari BBP Pelabuhan Klang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Kota Anggerik dibantu unit dron, unit anjing pengesan (K9) serta polis diperluaskan ke perangkap sampah pertama yang jaraknya 800 meter dari lokasi kejadian.

Tambah beliau, mayat mangsa kemudiannya ditemui BBP Bestari Jaya di kawasan perangkap sampah SFV, Bestari Jaya.

“Mayat itu dibawa ke darat sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya ditutup pukul 3 petang tadi,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI