IPOH – Perkhidmatan Pasukan Doktor Udara (FDU) di Perak akan ditangguh buat beberapa hari sementara Kementerian Kesihatan (KKM) mendapatkan penilaian berhubung situasi semasa daripada syarikat carter.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya hanya menjangkakan perkhidmatan FDU di Ulu Kinta itu ditangguhkan untuk beberapa hari sahaja bagi memberi laluan kepada perbincangan mengenainya dijalankan.
“Saya tidak jangka kita akan tangguh perkhidmatan ini untuk tempoh masa yang lama, sekejap sahaja untuk kita dapat kepastian daripada syarikat penerbangan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Media semalam melaporkan lima petugas FDU dan seorang juruterbang sebuah helikopter terhempas di Brinchang, Cameron Highlands ketika dalam perjalan pulang ke Ipoh selepas selesai melakukan lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.
Pada masa sama, beliau berkata, antara perkara perlu dibincangkan dengan pihak syarikat carter adalah rancangan mereka selepas insiden tersebut, sama ada mempunyai helikopter yang boleh diterbangkan, juruterbang bagi tujuan tersebut selain komitmennya yang lain.
“Sudah tentu kita minta diutamakan kerana perkhidmatan FDU sangat penting bagi perkampungan Orang Asli, mereka memerlukan perkhidmatan ini,” katanya.
Pada masa sama, Khairy Jamaluddin berkata, siasatan awal oleh pihak berkuasa seperti Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mendapati kejadian tersebut berpunca daripada cuaca yang buruk sehingga menyebabkan pendaratan kecemasan terpaksa dilakukan.
Katanya, penerbangan helikopter ketika cuaca buruk tertakluk kepada protokol keselamatan yang ditetapkan syarikat penerbangan.
“Helikopter ini bukanlah milik KKM, kita sewa. Ini adalah carter jangka masa panjang yang digunakan untuk perkhidmatan FDU. Yang kita sewa ini sudah pasti dari syarikat berlesen dan berdaftar bawah CAAM.
“Ia telah melalui semua semakan keselamatan diperlukan. Jadi soal itu kita tidak ragu tetapi seperti biasa apabila berlaku kejadian udara seperti ini, mestilah ada siasatan. Kita serah kepada polis dan CAAM untuk laksanakannya.
“Yang penting adalah kita sendiri akan bincang dengan syarikat carter untuk pastikan bahawa kita sendiri diberikan taklimat oleh mereka supaya dapat diteruskan walaupun pada musim tengkujuh ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.