SUBANG – “Saya tidak ada tempat lain,” kata penyandang kerusi Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi bayangan beliau akan mempertahankan kerusi tersebut yang disandangnya sejak empat penggal lalu.
Beliau berkata, UMNO Bahagian Sembrong turut mencadangkan kepada pucuk pimpinan supaya mengekalkannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
“Setahu saya orang Sembrong beri cadangan kepada pucuk pimpinan dan tiada nama lain. Jadi kita tunggulah, apa-apa sahaja boleh berlaku dalam politik.
“Harap yang terbaik dan jangka yang terburuk,” katanya pada sidang akhbar di Pangkalan Udara Subang di sini hari ini.
Ditanya mengenai mengenai PKR yang sudah mengumumkan calon berprofil tinggi, Hishammuddin berkata, pemilihan calon pada akhirnya akan ditentukan oleh rakyat.
“Saya tidak tahu bagaimana (ditentukan) calon berprofil tinggi. Menjadi calon ini seronok, tetapi realitinya rakyat akan sokong mereka yang buat kerja sahaja,” katanya. – KOSMO! ONLINE.