KUALA LUMPUR- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa mencadangkan agar mana-mana sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19 perlu ditutup sementara waktu.
Presidennya, Adnan Mat berkata, cadangan itu berikutan kehadiran murid yang sangat rendah di semua sekolah yang merekodkan kes Covid-19.
“Jika sekolah terus beroperasi seperti biasa dengan kehadiran kontak rapat ke sekolah, Cuepacs bimbang ia boleh meningkatkan risiko penularan.
“Pada masa yang sama kerja-kerja pembersihan dan sanitasi sekolah dapat dijalankan dengan lebih lancar tanpa kehadiran murid-murid.
“Harus diingatkan apabila melibatkan kes Covid-19 di sekolah, kontak rapatnya adalah terlalu ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya penutupan sekolah itu tidak perlu mengambil tempoh yang panjang untuk saringan kontak rapat dan kerja-kerja sanitasi.
Langkah tersebut selari kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali semasa sesi lawatan beliau ke sekolah pada 24 Jun lalu.
“Timbalan Menteri memaklumkan sekolah yang merekodkan kes positif Covid-19 dalam kalangan pelajar, guru dan kakitangan.
“Justeru itu, adalah wajar sekiranya Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara menutup sementara sekolah-sekolah yang mencatatkan kes positif Covid-19,” jelasnya. -K! ONLINE