SEPANG – Operasi khas menyelamatkan sejumlah mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan di Kemboja baru-baru ini berdepan saat-saat mencemaskan namun semuanya berbaloi apabila beberapa individu berjaya dibawa pulang dalam keadaan selamat lewat malam tadi.
Aktivis Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO), Azirul Shafiq Sazali menggambarkan senario misi tersebut seolah-olah aksi drama popular Gerak Khas.
“Sejurus menerima maklumat lokasi mangsa, kami bergerak dalam konvoi beberapa kereta dan jika lambat, mungkin mereka langsung gagal diselamatkan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, beliau yang bertanggungjawab dalam misi khas itu di Kemboja baru-baru ini hadir menyambut ketibaan enam warga Malaysia yang semuanya berasal dari Sabah dan Sarawak.
Kumpulan itu yang menaiki pesawat AirAsia penerbangan AK 535 dari Phnom Penh mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 di sini pukul 12.08 tengah malam tadi.
“Mangsa berjaya lari ketika bos sindiket itu pindahkan mereka ke sebuah hotel di Sihanoukville kerana bangunan markas operasi kumpulan ini secara kebetulan tidak selamat,” jelasnya.
Semasa di lokasi transit itu, salah seorang mangsa dapat berhubung dengan Hishamuddin pada sebelah malam dan misi menyelamatkan digerakkan pada awal pagi ketika masih gelap.
Sejumlah kenderaan termasuk van dipandu aktivis NGO warga Kemboja menunggu dekat hotel itu manakala beberapa kereta berada tidak jauh sebagai bantuan jika ada kecemasan.
Sejurus diselamatkan, mereka perlu bergerak pantas secara senyap sebelum kehilangan mangsa disedari sindiket itu yang mungkin mengejar serta melakukan sekatan jalan tertentu.
Perjalanan dari bandar peranginan terkenal itu ke ibu kota Phnom Penh sejauh 230 kilometer mengambil masa lebih lima jam dan mereka bersyukur tiada sebarang masalah yang timbul.
Azirul Shafiq berkata, beliau sendiri diancam bahaya apabila sering diganggu sindiket itu yang tidak berpuas hati dengan operasi menyelamat mangsa tersebut termasuk ugutan dibunuh.
“Bagaimanapun, terima kasih kepada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Kemboja yang banyak bantu MHO terutama dalam urusan konsular dan dokumentasi semua mangsa,” tambahnya.
Setakat ini ujarnya, seramai 30 mangsa telah diselamatkan NGO itu dengan 24 daripadanya itu masih berada di depoh tahanan imigresen di Phnom Penh atas kesalahan tiada pasport.
Mereka dijangka dapat dibawa balik ke tanah air dalam masa terdekat susulan kerjasama pihak kedutaan dengan kerajaan Kemboja untuk melancarkan proses pengusiran pulang. – KOSMO! ONLINE.