GUA MUSANG – Kegembiraan seorang lelaki yang memancing bersama dua rakannya berakhir tragedi apabila dia tergelincir dan terjatuh sebelum lemas di Sungai Ketil, Taman Wangi di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, mangsa, Ahmad Raihan Hanif Yusoff, 35, dari Kampung Kedai Buloh, Kota Bharu dikatakan tergelincir ketika ingin menyeberang sungai berkenaan.
Rakannya, Muhammad Syafiq Azmi, 23, berkata, mereka bertiga merupakan pekerja kontrak di sebuah syarikat telekomunikasi pergi ke sungai berkenaan untuk memancing selepas tamat waktu kerja pada pukul 12 tengah hari.
Katanya, sebelum kejadian, dia sudah melarang mangsa yang tidak pandai berenang untuk datang ke arahnya yang berada di seberang sungai kerana batu yang licin.
“Ketika itu, saya sedang mandi di sungai itu dan Ahmad Raihan Hanif ingin datang ke arah saya dengan menyeberang sungai berkenaan.
“Tiba-tiba saya terdengar percikan air yang kuat dan melihat mangsa sudah tergelincir dan terjatuh ke dalam sungai. Saya sempat menarik tangannya, namun dia terus dihanyutkan arus sungai,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Mohd. Arifuddin Akif Mohd. Noor ketika dihubungi berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira pukul 6.05 petang tadi.
Katanya, mayat mangsa dijumpai tersangkut pada kayu di dalam air kira-kira 10 meter dari lokasi dia tergelincir. – KOSMO! ONLINE