fbpx

Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan terbabit rusuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Tujuh individu termasuk seorang wanita ditahan kerana dipercayai terlibat pergaduhan di di Medan Selera Tanjung, Taman Dato Ahmad Razali semalam.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 10.40 malam tadi berpunca perbalahan mulut dan saling mengejek antara satu sama lain selain melontarkan kata-kata kesat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kesemua yang ditahan berusia lingkungan 18 hingga 23 tahun.

“Berdasarkan laporan yang dibuat pengadu, lelaki berusia 22 tahun berkenaan telah pergi ke Medan Selera Tanjung, Taman Dato Ahmad Razali untuk berjumpa dengan seorang suspek.

“Semasa perbincangan, suspek yang merupakan teman lelaki kepada bekas teman wanita pengadu dikatakan bertindak menumbuk pengadu beberapa kali di bahagian muka sehingga mencetuskan pergaduhan antara mereka,” katanya.

Menurut Mohamad Farouk, hasil siasatan mendapati perselisihan faham berlaku antara pengadu dan suspek rentetan simpanan maklumat peribadi storan awan (iCloud) milik teman wanitanya.

“Keadaan menjadi lebih tegang apabila rakan-rakan pengadu dan suspek masuk campur.

“Pengadu dan suspek, masing- masing mengalami kecederaan luka di tangan kanan dan sakit di bahagian muka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau memberitahu, enam suspek lelaki direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini manakala suspek perempuan direman satu hari bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI