fbpx

Pilih calon ikhlas, beriman dan tak buat maksiat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengundi disarankan memilih calon yang berwibawa dan tidak mempunyai kepentingan peribadi, selain mendahulukan kebajikan rakyat pada PRU15 nanti. – gambar hiasan

GEORGE TOWN – Para pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dinasihatkan supaya memilih bakal pemimpin dengan cermat dan mengikut panduan berdasarkan ‘siyasah syariyyah’.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, berdasarkan siyasah syariyyah, pengundi dinasihatkan untuk memilih calon yang diketahui sebagai seorang yang beriman, tidak mengabaikan kewajipan agamanya, taat beribadah, berakhlak mulia dan menghindari perbuatan-perbuatan maksiat.

“Calon yang bakal dipilih juga hendaklah seorang yang ikhlas untuk berkhidmat kepada rakyat dan bersedia untuk membela nasib rakyat dan berjuang untuk mencapai kepentingan mereka.

“Dia (calon) juga merupakan seorang yang beramanah dan punya integriti, tidak rakus kepada harta benda dan tidak mengambil ke­sempatan daripada kedudukannya untuk menghimpun kekayaan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Katanya, pengundi juga disarankan agar tidak memilih seseorang yang diketahui sebagai pengkhianat negara, agama dan rakyat.

“Jangan juga memilih semula orang yang terbukti tamak kepada kekayaan untuk diri, keluarga dan kroni dengan mengabaikan nasib rakyat.

“Selain itu, jangan memilih calon daripada kalangan yang menyeru atau memperjuangkan maksiat seperti penyokong LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender).

“Pilihlah pemimpin yang cakna kepentingan masyarakat dan prihatin kepada kesusahan mereka tanpa mengira latar belakang etnik dan agama,” ujarnya.

Menurut beliau, Islam juga tidak melarang umatnya mencalonkan orang bukan Islam sebagai pemimpin sekiranya individu tersebut tidak memusuhi agama dan umat Islam atau yang diyakini akan memberikan khidmat yang baik.

Dalam pada itu, katanya, gabungan antara pemimpin senior dan muda juga diperlukan memandangkan Rasullulah SAW juga menggandingkan kedua-dua golongan itu.

“Perlu diikuti contoh daripada Rasulullah, yang mana baginda menggandingkan antara kedua-dua golongan ini.

“Baginda melantik golongan senior seperti Abu Bakar, Umar sebagai pemimpin yang sentiasa dirujuk untuk mendapat nasihat dan pandangan tentang pelbagai isu berkaitan umat dan negara,” jelasnya.

Di samping itu, beliau menambah, Rasulullah juga memberi kepercayaan kepada anak-anak muda seperti Ali bin Abi Talib, Khalid bin Walid, Usamah bin Zaid dan lain-lain dengan me­lantik mereka mengetuai pepera­ngan atau meletakkan mereka di posisi-posisi penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI