BEREGU wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah dijangka tiada masalah untuk melangkah ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Perancis di Paris ketika ini.
Ia berdasarkan prestasi semasa beregu No.11 dunia itu yang akan berdepan pasangan No. 27 dunia dari Indonesia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi di pusingan kedua hari ini.
Begitupun, Pearly, 22, tidak mahu memandang rendah kemampuan lawannya selepas dia dan Thinaah, 22, berjaya menyingkirkan Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti di pusingan pertama kelmarin.
“Saya rasa sangat gembira dan bersyukur dengan kemenangan ini. Mungkin sebab saya sudah dapat balik rentak dan permainan sebenar selepas mengalami kecederaan sebelum ini.
“Saya cuma berharap dapat mengekalkan momentum ini apabila bertemu satu lagi beregu dari Indonesia. Kami akan fokus kepada setiap satu mata,” kata pemain dari Alor Setar, Kedah itu.
Pearly-Thinaah mencipta kejutan apabila menewaskan Apriani-Siti Fadia yang turun selaku pilihan ketujuh kejohanan dengan kemenangan 22-20, 19-21, 21-7 pada aksi di Stade Pierre de Coubertin.
Febriana-Amalia pula mara selepas menewaskan beregu Jerman, Stine Kuspert-Emma Moszczynski 18-21, 21-9, 21-13 di pusingan pertama kelmarin.
Jika menang, Pearly dan Thinaah dijangka berdepan juara empat kali Siri Jelajah Dunia iaitu beregu No. 3 dunia dari Jepun, Nami Matsuyama-Chiharu Shida di peringkat suku akhir. – KOSMO! ONLINE
PEARLY dan Thinaah tidak mahu memandang rendah kemampuan Febriana Dwipuji-Amalia Cahaya di pusingan kedua Terbuka Perancis di Paris hari ini.