fbpx

MAIS tawar rumah Riqab kepada pelatih negeri lain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurhani (dua kiri) menyampaikan hadiah kepada salah seorang penerima pada Majlis Hari Kecemerlangan Pelatih MAIS di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, hari ini.

SABAK BERNAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) bersedia menawarkan rumah perlindungan kepada asnaf ar-Riqab dari negeri lain untuk mendapatkan rawatan pemulihan akidah di Selangor.

Timbalan Setiausaha Operasinya, Nurhani Salwa Jamaluddin berkata, pelatih dari Terengganu yang terjebak dengan gejala sosial dan akidah turut dihantar ke Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini.

“Selain itu, MAIS sedang merangka kerjasama dengan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor untuk menempatkan pelatih negeri tersebut.

“Kami turut menawarkan rakan strategik kami seperti Kementerian Pendidikan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi peluang kedua kepada mereka yang mahu berubah kepada kehidupan lebih baik,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Hari Kecemerlangan Pelatih MAIS di Baitul Ehsan di sini, hari ini.

Menurut beliau, rumah Riqab MAIS melaksanakan pelbagai program pemulihan seperti kelas fardu ain, pengajian al-Quran dan usrah selain program pembentukan sahsiah diri pelatih termasuk program akidah.

Ujarnya, ketika ini dua rumah perlindungan Riqab MAIS sedang berusaha meningkatkan jumlah pelatih sedia ada.

“Mereka yang dibelenggu masalah sosial dan akidah boleh datang terus ke pusat perlindungan itu untuk mendapatkan pemulihan.

“Sebagai contoh, Baitul Ehsan berjaya menguruskan seramai 1,700 pelatih sejak penubuhannya pada 2001,” katanya.

Mengulas lanjut, Nurhani menjelaskan MAIS memperuntukan sebanyak RM20 juta bagi membantu tiga rumah Riqab di bawah kendaliannya termasuk 27 Badan Bukan Kerajaan Islam (NGOI) di Selangor tahun ini.

“Sebanyak RM2.4 juta diagihkan kepada Baitul Ehsan bagi kos operasi dan menguruskan rumah Riqab tersebut,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI