LISBON – Masa depan Massimiliano Allegri kini berada dalam keadaan bahaya apabila gagal memastikan Juventus mara ke peringkat kalah mati Liga Juara-Juara (UCL) buat kali pertama sejak musim 2013/2014.
Ia disebabkan kekalahan 3-4 kepada jaguh Portugal, Benfica di Estadio da Luz awal pagi semalam menyaksikan Juventus mengumpul tiga mata daripada lima aksi Kumpulan H.
Kini, gergasi Itali itu perlu berjuang memastikan reputasi mereka sekali lagi tidak tercalar dengan memastikan sekurang-kurangnya mampu meraih slot ke Liga Europa.
“Kami minta maaf kepada semua penyokong Juventus. Kami sangat kecewa, tetapi penyingkiran ini sebenarnya sudah dapat diagak daripada perlawanan sebelum ini (tewas mengejut 0-2 kepada Maccabi Haifa).
“Adakah ini satu kegagalan? Tidak. Apa yang berlaku hari ini akan mencipta peluang baharu kepada pasukan, mungkin kembali fokus merebut kejuaraan (Serie A).
“Anda perlu bangun selepas jatuh. Saya mahu melihat reaksi pemain kerana sekurang-kurangnya kami masih ada Liga Europa. Ia bukan mudah, tetapi tiada cara lain kerana kami perlu bangkit,” kata Allegri.
Benfica meraih empat gol menerusi dua jaringan Rafa Silva dan masing-masing satu daripada Antonio Silva serta Joao Mario.
Juventus pula terpaksa pulang hampa walaupun berjaya menjaringkan tiga gol melalui Moise Kean, Arkadiusz Milik dan Weston McKennie.
Kekalahan Juventus menyaksikan Paris Saint-Germain yang membelasah Maccabi 7-2 dan Benfica mengesahkan slot ke peringkat kalah mati sebagai dua pasukan terbaik Kumpulan H.
– AGENSI