MANCHESTER – Bintang sensasi Manchester United, Cristiano Ronaldo dilihat sudah kembali menyertai sesi latihan skuad utama pasukan itu selepas digantung oleh pengurusnya, Erik Ten Hag.
Ronaldo digugurkan daripada senarai pemain ketika United terikat 1-1 menentang Chelsea dan diarahkan menjalani latihan sendirian selepas bertindak meninggalkan bangku simpanan ketika pasukannya menewaskan Tottenham Hotspur.
Bagaimanapun, selepas mengadakan pertemuan dan bersemuka dengan Ten Hag, Ronaldo kembali dibenarkan menjalani latihan bersama pasukan itu ketika mereka menantikan kunjungan Sheriff Tiraspol pada aksi Liga Europa di Old Trafford awal pagi esok.
Ten Hag mengakui bahawa beliau tidak akan memberi muka kepada mana-mana pemain termasuk Ronaldo yang menunjukkan sikap angkuh dan tidak teragak-agak untuk mengenakan hukuman.
“Kami sudah meletakkan standard tertentu, ia untuk semua pemain. Mereka perlu menjalaninya.
“Saya berbincang dengan pengarah kelab mengenai budaya dan standard yang perlu dituruti. Mereka bersetuju dan sebab itu saya dilantik.
“Kami bercakap mengenai cara saya mengendalikan pasukan, personaliti, standard dan cara saya memimpin.
“Saya tidak peduli berapa umur dan sejauh mana reputasi anda. Jangkaan untuk Manchester United adalah sangat tinggi. Peminat dan pemegang saham kami memiliki impian besar, jadi anda perlu memiliki sikap yang betul dan menjalaninya setiap hari,” kata Ten Hag. – AGENSI