fbpx

Mahkamah: Palsu dokumen, pengarah urusan didenda RM80,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah urusan bergelar Datuk didenda RM80,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memalsukan dokumen tuntutan berhubung ujian penerimaan kilang (FAT) bagi projek pusat membeli belah, Mayang Mall di Kuala Terengganu, dua tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Datuk Asri Abu Shari, 54, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Sekiranya jumlah denda itu gagal dibayar, tertuduh boleh dipenjara selama tiga bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.

Pada masa sama mahkamah turut memerintahkan agar wang berjumlah RM1.9 juta yang berada dalam akaun syarikat Gafis (M) Sdn. Bhd. milik tertuduh dilucut hak dan diserahkan kepada kerajaan Malaysia.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan dokumen palsu bertajuk ‘Testing and Testing Apparatus’ yang terkandung dalam tuntutan kerja-kerja mekanikal dan elektrik bagi pembinaan blok pusat membeli belah di Kuala Terengganu.

Dokumen itu digunakan untuk membuat tuntutan bagi ‘Factory Acceptance Test’ ke atas beberapa peralatan termasuk pemercik (sprinkler) dan pam pancur kering dan basah dalam projek Mayang Mall, Kuala Terengganu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di syarikat YHS Associates Sdn Bhd, Pandan Jaya, di sini pada 30 Oktober 2020 yang didakwa mengikut Seksyen Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Terdahulu, ketika mengemukakan rayuan peguam bela tertuduh, Ridha Abdah Subri memohon agar anak guamnya dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 memandangkan anak guamnya masih menanggung keluarga di samping mempunyai beberapa penyakit seperti masalah jantung dan bronkitis.

“Anak guam saya menyesal atas perbuatan yang dilakukan dan sejak siasatan SPRM bermula pada Mei lalu, syarikatnya mengalami masalah kewangan. Mohon mahkamah mengambil kira faktor beliau masih menggajikan kira-kira 30 orang pekerja tetap dan 200 pekerja kontrak,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam.

Pihak pendakwaan turut memohon agar wang RM1.9 juta yang berada di dalam akaun syarikat milik tertuduh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia kerana ia adalah hasil daripada tuntutan palsu yang dibuat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI