fbpx

Kedamaian bermalam di dalam dusun durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RDEG menawarkan penginapan pada harga serendah RM168 semalam.

MULA beroperasi sekitar Mei lalu, Rasa Durio Eco Glampz (RDEG) yang terletak di Rasa iaitu 10 minit perjalanan dari pekan Kuala Kubu Bharu, Selangor semakin dikenali ramai.

Berkonsepkan agropelancongan, RDEG menawarkan perkhemahan glamor (glamping) yang dibangunkan di kawasan dusun seluas lapan hektar.

Pemilik dan pengurus RDEG, Rozinah Anas berkata, idea membuka pusat pelancongan tersebut sudah lama difikirkan terutama selepas bersara sekitar lima tahun lalu.

“Dusun durian ini memang sudah lama ada, tetapi saya dan suami jarang datang ke sini kecuali ketika musim durian.

“Selepas bersara, saya dan suami ingin memanfaatkan sebahagian tapak di dusun ini dengan membangunkan pusat tarikan pelancongan berasaskan pertanian.

“Bermula Mei lalu, kami sepakat untuk membuka sebuah pusat pelancongan agro di dalam dusun dengan membangunkan beberapa fasiliti asas ,” katanya kepada Horizon baru-baru ini.

Tambah Rozinah, selepas membuat promosi secara agresif di semua platform media sosial, sambutan yang diterima RDEG sangat menggalakkan daripada orang ramai.

Untuk makluman, RDEG menawarkan 22 buah unit penginapan terdiri daripada Durio Cottage , Bell Tent, Hill Top Chalet, Yurt Citrus Tent, Riverview Room dan Standard Tent.

RDEG boleh menampung kehadiran hampir 100 tetamu pada satu masa.

Pakej penginapan ditawarkan pada harga serendah RM168 semalam,

“Kami cuma menggunakan dua hektar daripada keluasan dusun untuk membangunkan tempat penginapan ini.

“Bukan sekadar penginapan, kami juga menyediakan fasiliti seperti surau, kafe, tandas, tempat mandi, gazebo, dapur dan dewan terbuka.

“Dari segi aktiviti pula, pengunjung berpeluang mandi dan bermain rakit di sungai yang begitu mendamaikan.

“Aktiviti lain yang ditawarkan termasuk memanah, mendaki bukit, bermain badminton, trampoline, melihat ayam hutan, mandi kolam, bermain bola sepak, permainan catur, karom, congkak dan banyak lagi,” katanya.

ROZINAH (kiri) dan Wahid (kanan) bergambar bersama para petugas RDEG
di Tangga Durio yang merupakan salah satu lokasi tumpuan pelawat.

Pengunjung juga boleh menunggang kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), menikmati pelbagai jenis durian dari dusun pada harga berpatutan, selain barbeku.

Ujar Rozinah, pihaknya turut menawarkan pas masuk secara harian bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang bagi membolehkan pelawat melakukan aktiviti di RDEG.

Sementara itu, pengasas bersama yang juga suami kepada Rozinah, Wahid Mohamad berkata, RDEG sering menjadi tumpuan pengunjung yang ingin melihat dan mengenali pokok-pokok di situ.

“Bukan sekadar durian, kami juga ada tanaman lain seperti pucuk gajus, bayam Brazil, saka inci, senduduk, manggis, dokong, saka inci, mata kucing, orkid serta banyak lagi.

“Kami sering menerima kehadiran pelajar, syarikat atau mana-mana agensi dan institusi yang ingin mengadakan kem bina semangat di sini,” katanya.

Jelas Wahid, musim durian terhad antara April hingga Julai, namun ia bergantung kepada faktor cuaca pada setiap tahun.

Sementara itu, salah seorang pengunjung yang ingin dikenali sebagai Ahmad Mustaqim memaklumkan, dia berkunjung ke RDEG bersama ahli keluarga.

Jelasnya, dia berasa cukup tenang sepanjang menginap di RDEG.

“Sebelum ini, saya dan keluarga tidak pernah berkhemah secara glamping. Selepas melihat dusun durian dan aktiviti berakit di sini, saya terus membuat tempahan.

“Suasana di sini sangat menenangkan kerana jauh daripada kesibukan kota. Kami juga dapat menikmati durian dari dusun ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI