KUALA LUMPUR – Kerajaan belum membuat sebarang perbincangan untuk menyenaraihitam pelajar yang bertindak menjual PerantiSiswa Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu akan dibincangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM).
Namun, Perdana Menteri turut merayu kepada penerima-penerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia agar tidak menjual peranti tersebut di pasaran.
“Niat kerajaan dengan mengadakan program ini adalah untuk menolong pelajar-pelajar golongan B40 untuk mendapatkan peranti bagi memudahkan pembelajaran mereka di pusat pengajian tinggi.
“Dulu Menteri Komunikasi dan Komunikasi menyatakan kebimbangan inilah (isu jual peranti), dulu kita kata pinjam selepas tamat belajar pulang balik, tentulah mereka tak jual sebab pinjam.
“Tapi bila kita bagi terus tujuan kerajaan baik maknanya hak dia, niat kita baik untuk memudahkan mereka belajar,” katanya selepas merasmikan Media City Angkasapuri di sini hari ini.
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual tablet Samsung Tab A8 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada harga RM900.
Pelajar terbabit didakwa mahu menukar gajet itu kepada iPad tetapi tindakannya dikecam orang ramai. – KOSMO! ONLINE.