KUALA LUMPUR – Seorang pegawai penyiasat kanan hari ini mengesahkan bahawa tiada sebarang kerosakan yang berlaku pada mesin penapis air di rumah pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di Kondomonium di Wangsa Maju di sini.
Saksi pendakwaan ke – 20 Asisten Superitendan Rohaini Baharom daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berkata konklusi itu berdasarkan dokumen yang diperolehi yang diterima melalui e-mel seorang ketua eksekutif sumber manusia syarikat penapis air itu pada 11 November 2021.
“Saya kemudian membuat siasatan lanjut dari dokumen yang diterima dari syarikat penapis air itu dan mendapati rekod penyelenggaran bagi tahun 2021 tidak menunjukkan sebarang kerosakan pada mesin penapis air yang didaftarkan atas nama Siti Bainun di kondominium, Wangsa Maju,” kata saksi itu.
Saksi itu berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes pengasas Rumah Bonda Siti Bainun yang didakwa mengabai dan menganiaya remaja berusia 13 tahun itu.
Dengan keterangan Rohaini itu, sekaligus menyanggah cadangan yang dibuat peguam bela Siti Bainun sebelum ini yang mengatakan Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air di rumah anak guamnya rosak sejak Mac 2021.
Dalam prosiding sebelum ini, saksi pendakwaan kelima Yasmin Nahar Mahmood, 19, memberitahu mahkamah bahawa Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.
Bagaimanapun pada prosiding selepas itu, Yasmin mengakui bahawa kecederaan melecur dialami Bella adalah disebabkan tumpahan air termos dan bukannya daripada mesin penapis air.
Sementara itu kepada soalan peguam Nurul Hafidzah Hassan yang mewakili Siti Bainun mengenai dokumen penyelenggaran mesin penapis air itu bukan tandatangan Siti Bainun, saksi itu menjawab tidak setuju.
Namun saksi juga tidak pasti bahawa tandatangan huruf ‘M’ itu adalah tandatangan Siti Bainun.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.
Siti Bainun, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE