fbpx

Studio Kembara meterai kerjasama dengan IPT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENURUT Abdul Rahman Mt Dali, Studio Kembara memberi fokus terhadap hiburan bermanfaat dan menggilap ramai pelapis penerbitan.

PETALING JAYA – Selepas mencatat sejarah menerusi filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan, Studio Kembara Sdn. Bhd. terus agresif memantapkan operasi syarikat dengan mempelbagaikan cabang kepakaran.

Penerbit merangkap Pengarah Urusannya, Abdul Rahman Mt Dali berkata, kandungan hiburan bermanfaat yang bakal disajikan menerusi perjanjian kerjasama termasuk agensi luar negara diharap menjadi pemangkin perkembangan industri seni tanah air.

“Sebagai pemain industri, Studio Kembara mahu bergerak secara agresif dalam merealisasikan misi menambah variasi kandungan hiburan yang memberikan nilai tambah kepada masyarakat.

“Usaha jitu menerusi kolaborasi bijak bersama aneka agensi dari peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hingga syarikat gergasi dijangka mampu membangunkan lagi masyarakat yang lebih progresif.

“Maju yang dimaksudkan bukan hanya dari segi infrastruktur, malah meliputi aras pemikiran untuk lebih terbuka tetapi pada masa sama tidak melupakan keunikan khazanah warisan bangsa,” katanya.

Tambah Abdul Rahman, pihaknya sedia menjalin kerjasama dalam pelbagai cabang termasuklah usaha pemuliharaan seni pertahanan diri silat agar tidak ditelan zaman.

“Semakin lama, jurus silat yang sebegitu banyak dan kaya kian hilang. Alangkah bagusnya andai seni warisan bangsa dipertahankan dan juga dipamerkan di seluruh dunia.

“Silat sekadar contoh saja, banyak lagi keunikan warisan negara yang lain boleh kita ketengahkan atau dipasarkan ke peringkat luar,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Studio Kembara dan Universiti Multimedia (MMU), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Blockworq Sdn. Bhd. dan Tarbiah Sentap.

Sementara itu antara fokus bersama Tarbiah Sentap pula, Studio Kembara menumpukan hiburan keagamaan khususnya nyanyian bergenre nasyid.

“Kami bersama mereka akan melabur untuk menaikkan semula industri nasyid. Termasuklah memberi input agar lagu-lagu nasyid menjadi runut bunyi untuk drama dan filem-filem yang dihasilkan,” ujarnya.

Sementara itu, MoU tersebut juga merupakan sebahagian inisiatif produksi itu membantu melahirkan lebih ramai pelapis pekerja perfileman belakang tabir yang turut membabitkan kerjasama pihak luar negara.

Antaranya, menggiatkan usaha membina ekosistem baharu dalam industri penerbitan tanpa mengira filem mahupun drama tempatan.

“Kerjasama bersama institusi pengajian tinggi bertujuan mengetengahkan pelajar berpotensi yang berminat menceburi bidang seni serta meneruskan legasi dunia penerbitan.

“Kami ingin mencungkil bakat baharu, terutama golongan pelajar muda yang akan diserap ke dalam gelanggang supaya merasai tanggungjawab diri menerusi dunia seni secara realiti.

“Siapa tahu mereka ini juga boleh mendapat latihan industri di luar.

“Begitupun, Studio Kembara masih sedia bekerjasama dengan karyawan berpengalaman, jadi tidak timbul istilah meminggirkan pengkarya lama,” katanya yang baru pulang dari Turkiye bertemu rakan strategik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI