Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA LANGAT – Seorang lelaki terselamat manakala ayahnya dikhuatri lemas selepas bot dinaiki karam di Perairan Batu Laut, Tanjong Sepat di sini semalam.
Kejadian tersebut diketahui apabila mangsa terselamat, Mohd. Farizal Abdul Rahman, 40, diselamatkan oleh sekumpulan pemancing yang melalui kawasan tersebut kira-kira pukul 4.30 petang.
Mangsa yang hilang dan dikhuatiri lemas dikenali sebagai Abdul Rahman Mat Kasim,60.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Deputi Superitendan Kamalariffin Aman Shah berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati dua beranak itu turun ke laut kira-kira pukul 8 pagi dan dijangka pulang pukul 12 tengah hari.
Difahamkan mereka turun ke laut bagi menangkap ikan.
“Sekumpulan pemancing yang melalui kawasan tersebut kemudiannya mendengari jeritan Mohd. Farizal sebelum mendapati lelaki itu berpaut di pelampung jaring.
“Lelaki itu memaklumkan ayahnya disyaki lemas selepas bot mereka karam di perairan di kawasan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelasnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang tidak dapat dilakukan semalam kerana keadaan cuaca tidak menentu diteruskan pukul 8 pagi hari ini.
“SAR akan dilakukan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Polis Marin dan penduduk kampung,” katanya.
Terdahulu, tular video berdurasi 3 minit 13 saat memaparkan saat-saat Mohd. Farizal yang berpaut pada pelampung jaring itu diselamatkan kumpulan pemancing tersebut. -K! ONLINE