JAKARTA – Seorang wanita berusia 25 tahun didakwa cuba menceroboh Istana Presiden Republik Indonesia dengan mengacu pistol ke arah Pasukan Keselamatan Presiden Indonesia (Paspampres), lapor stesen penyiaran CNNIndonesia semalam.
Ketika kejadian pada pukul 7 pagi (waktu tempatan), suspek dipercayai membawa senjata api jenis FN laras pendek.
Selain senjata api, pelaku dilaporkan membawa beg hitam berisi kitab suci al-Quran, telefon bimbit dan dompet kosong berwarna merah jambu.
Polis berkata, keadaan di sekitar Istana Presiden adalah terkawal dan tidak terancam.
“Keadaan masih kondusif dan aman,” kata Ketua Perhubungan Awam, Polis Metro Jaya Komisioner Besar Endra Zulpan.
Zulpan mengesahkan wanita itu telah ditahan dan sedang disoal siasat oleh Direktorat Keselamatan Negeri.
Kejadian bermula ketika seorang pegawai trafik bertugas menyelenggara dan mengawal aliran lalu lintas di sekitar Istana Negara seperti biasa.
Tiba-tiba seorang perempuan berjalan kaki dari Harmoni ke Jalan Merdeka Utara sambil tangannya memegang pistol jenis FN,” kata Zulpan.
Anggota yang bertugas segera menangkap wanita tersebut dan merampas pistol yang dibawanya.
Polis mengesahkan bahawa Presiden Joko Widodo (Jokowi) tiada di Istana Jakarta pada waktu kejadian, sebaliknya sedang dalam lawatan kerja di Balikpapan. – Agensi