fbpx

Kanak-kanak 9 tahun maut, empat cedera kemalangan dua kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG kanak-kanak perempuan berusia 9 tahun maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua buah kenderaan di Jalan Ismail Sultan, Iskandar Puteri, malam semalam.

ISKANDAR PUTERI – Seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun maut, manakala empat lagi cedera dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dalam kejadian di kawasan berhampiran Mydin Nusajaya, Jalan Ismail Sultan, East Ledang, di sini malam semalam.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Iskandar Puteri, Pegawai Bomba Kanan II, Ahmad Nazran Omar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 8.44 malam.

Katanya, seramai tujuh anggota beserta sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan berkenaan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Vios dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza.

“Terdapat seramai empat orang mangsa di dalam kenderaan Toyota Vios, dengan seorang daripada mereka iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun tersepit di bahagian tempat duduk belakang kereta tersebut.

“Kanak-kanak yang tersepit itu dikeluarkan menggunakan peralatan khas namun telah disahkannya meninggal dunia oleh pegawai kesihatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Nazran, pemandu Toyota Vios iaitu seorang lelaki berusia 45 tahun mengalami kecederaan parah, manakala dua lagi penumpang iaitu seorang wanita berusia 45 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 14 tahun cedera ringan

“Sementara itu, pemandu Toyota Avanza iaitu seorang lelaki berusia 22 tahun turut mengalami kecederaan parah di bahagian kaki akibat kemalangan tersebut.

“Kesemua mangsa kemudiannya telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.

Ahmad Nazran turut memaklumkan pihaknya turut bertindak membersihkan tumpahan minyak akibat kemalangan tersebut menggunakan habuk kayu.

“Operasi itu kemudiannya ditamatkan pada pukul 10.38 malam,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI