KUALA SELANGOR – Sebanyak 720 unit bubu naga bernilai RM46,800 dirampas dalam operasi sekitar jeti nelayan Bagan Tengkorak, Tanjong Karang di sini semalam.
Bagaimanapun tiada tangkapan dilakukan dalam operasi bermula pukul 6.30 pagi sehingga 1.30 tengah hari.
Jabatan Perikanan Negeri Selangor (JPNS) berkata, operasi itu hasil aduan awam dan aktiviti risikan yang dilaksanakan oleh anggota penguatkuasa.
Katanya, bubu naga adalah sejenis peralatan menangkap ikan tradisional bergerak yang diletakkan di bawah jenis perangkap (portable trap) tidak dibenarkan JPNS.
“Walaupun bubu naga ini boleh dikategorikan sebagai bubu, namun ia mempunyai spesifikasi unik yang telah dikenalpasti iaitu memiliki lebih dua injap bagi setiap unit.
“Hal ini adalah bercanggah dengan Dasar Pelesenan Jabatan Perikanan Malaysia yang hanya melesenkan bubu yang mempunyai tidak lebih dari dua injap bagi setiap unit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Operasi bersepadu itu turut melibatkan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Gerakan Marin (PPM) dengan melibatkan kekuatan seramai 19 orang.
Jelas JPNS, bubu naga ini sering dipasang pada jarak satu hingga empat batu nautika dari pantai atau daratan yang berhampiran.
“Kebiasaannya satu unit bubu naga ini boleh menangkap antara 10 hingga 20 kg hasil laut.
“Spesies-spesies hidupan laut yang sering terperangkap di dalam bubu naga ini termasuk anak ikan gelama, sotong kurita, ketuka, anak ikan tetanda, ketam, pelbagai spesies udang dan landak laut,” ujarnya.
Mengulas lanjut, JPNS menegaskan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985, 11(3)(b) yang mana tidak membenarkan pemilikan apa-apa peralatan menangkap ikan tanpa lesen.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – KOSMO!ONLINE