KUALA LANGAT – Tiga penyamun Geng Ramesh yang melarikan wang tunai RM33,000 milik buruh warga asing tumpas selepas diberkas polis baru-baru ini.
Kesemua suspek berusia 28 hingga 47 tahun itu ditangkap di sekitar Telok Panglima Garang selang lima jam bermula pukul 11 malam, Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd . Nor @ Saleh berkata, berdasarkan siasatan kejadian samun itu melibatkan seorang buruh warga asing berusia 37 tahun di hadapan sebuah kilang di Telok Panglima Garang kira-kira pukul 9 malam pada 21 Oktober lalu.
Katanya, dua suspek bersenjatakan kayu telah melarikan sebuah telefon bimbit jenama Vivo selain wang tunai RM33,000.
Wang itu merupakan wang dikumpul daripada rakan sekerja mangsa untuk dihantar ke kampung halaman.
“Bertindak atas maklumat membawa kepada penahanan tiga suspek di sekitar Telok Panglima Garang.
“Polis juga berjaya menemui semula wang tunai milik mangsa berjumlah RM19,500 dengan dipercayai suspek telah menggunakan sebahagian wang hasil samun itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut berjaya dirampas adalah masing-masing sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal Yamaha LC135 serta tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama.
Ahmad Ridhwan menambah, semakan mendapati kesemua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau menjelaskan suspek kini direman lima hari dan kes disiasat dibawah seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE