IPOH – Tuan rumah, Malaysia sudah bersedia menghadapi kempen kejohanan hoki jemputan antarabangsa, Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-29 di Stadium Azlan Shah pada 1 November ini.
Ketua jurulatih hoki negara, Arul Selvaraj berkata, anak-anak buahnya kini hanya menunggu tiupan wisel permulaan kejohanan itu.
“Selepas dua tahun tidak diadakan, penganjuran semula kejohanan kali ini nyata membakar semangat pemain. Bagi pemain Malaysia, ini kesempatan terbaik menunjukkan kemampuan kepada peminat hoki tanah air. Saya rasa peminat juga menunggu dengan penuh debaran untuk menyaksikan perlawanan bertaraf tinggi,” katanya.
Arul berkata, Malaysia akan menurunkan kesebelasan terbaik biarpun tanpa beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan dan akan menamakan pemain terpilih selepas menerima laporan kesihatan pemain daripada doktor pasukan.
“Ada beberapa pemain mengalami kecederaan dan kedudukan mereka bergantung kepada laporan doktor, namun saya mempunyai pemain mencukupi untuk membentuk pasukan,” katanya.
Arul berkata, pasukan negara akan datang ke Ipoh esok dan beliau merancang mengadakan perlawanan ujian dengan Jepun yang tiba di Ipoh awal pagi semalam tetapi membatalkannya atas sebab tertentu.
Arul berpendapat, peluang semua enam pasukan meraih gelaran cerah berikutan ketiadaan Australia, India dan New Zealand. – KOSMO! ONLINE