TOKYO – Sebuah syarikat teknologi dari Jepun, Science Co. Ltd. (Science) mengumumkan rancangan membina mesin basuh yang boleh membersihkan manusia, lapor laman berita Oddity Central kelmarin.
Syarikat berpangkalan di Osaka dan mempunyai kepakaran dalam inovasi bilik mandi serta dapur itu menyasarkan produk tersebut akan tersedia di pasaran menjelang 2025.
Digelar Projek Usoyaro, Mesin basuh menggunakan teknologi buih halus terkini dengan pelbagai sensor pemantauan bersama sistem kepintaran buatan (AI) itu menawarkan pengalaman mandi yang kompleks.
Menurut Science, matlamat Projek Usoyaro bukan sekadar membersihkan badan pengguna secara menyeluruh, bahkan turut menyediakan ‘ruang penyembuhan’.
Ketika duduk dalam mesin basuh tersebut, pengguna boleh berehat sambil menikmati bunyi muzik menenangkan selain menonton imej yang dipaparkan pada skrin kalis air di mesin tersebut.
Sensor pada mesin itu akan mengukur keadaan saraf simpatik dan parasimpatetik selain sistem AI akan menggunakan data yang dikumpul untuk menghasilkan suasana paling selesa.
Konsep mesin basuh manusia bukan suatu yang baharu kerana semasa pameran Ekspo Osaka pada 1970, syarikat gergasi elektronik, Sanyo Electric mempamerkan produk serupa dikenali sebagai Ultrasonic Bath.
Ia merupakan sebuah mesin basuh manusia yang membersihkan, mengurut dan mengering pengguna di dalam produk automatik yang mempunyai kitaran selama 15 minit.
Konsep Ultrasonic Bath bagaimanapun tidak pernah diperkenalkan sebagai produk komersial. – Agensi