PELUMBA muda negara, Azroy Hakeem Anuar menegaskan, perjalannya menuju ke Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tidak terhenti di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), sekali gus tekad bekerja keras bagi merealisasikan impiannya ke pentas berprestij tersebut suatu hari nanti.
Meskipun beraksi atas tiket wild card pada Grand Prix (GP) Malaysia Ahad lalu, namun Azroy menegaskan, dia tetap berbangga dapat berjuang dengan pelumba handalan dunia biarpun menamatkan perlumbaan di tempat ke-22 bersama pasukan Petronas MIE Racing.
Justeru, Azroy menjadikan perlumbaan di Sepang sebagai pembakar semangatnya untuk ke MotoGP, namun tidak mahu terburu-buru ‘melompat’ ke pentas dunia kerana mahu memburu sebanyak gelaran perlumbaan tempatan.
“Jika diberi peluang sekali lagi ke MotoGP, saya harap persiapan itu dapat diadakan dengan lebih baik. Sebagai contoh, bila ada slot wild card, adakan ujian lebih awal dan sebagainya.
“Kalau persiapan itu dibuat dengan lebih baik saya rasa tidak mustahil saya memperoleh keputusan lebih positif. Bagaimanapun, saya berbangga dapat peluang ini serta bersaing dengan pelumba berpengalaman di sini.
“Mengenai perjalanan ke MotoGP, saya mahu fokus pada perlumbaan tempatan dan menjuarai semua perlumbaan. Jika saya berjaya capai kejayaan mungkin ada tempat buat saya pada perlumbaan di peringkat antarabangsa.
“Jika ada peluang, saya mahu sertai Kejuaraan Eropah (CEV) Moto2 terlebih dahulu kerana jenteranya seakan-akan sama dengan jentera digunakan pada MotoGP,” ujarnya.
Pada saingan tempatan, Azroy telah menjuarai gelaran CP150 bagi Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dan merangkul mahkota kemenangan pada Kejuaraan Superbike Malaysia (2019).
Berakhir perlumbaan di Sepang, Azroy akan memberi tumpuan bagi mengharungi saingan Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) yang kini dijadual memasuki kemuncak musim 2022 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand dari 18 hingga 20 November depan.
Pada ketika ini, Azroy yang mewakili pasukan Boon Siew Honda Racing Team mengumpul 100 mata untuk berada di kedudukan keempat keseluruhan dan ketinggalan 40 mata berbanding pendahulu yang juga rakan sepasukannya, Helmi Azman.