PETALING JAYA – Jumlah pesakit baharu kanser di negara ini dijangka meningkat kepada lebih 66,000 orang setiap tahun menjelang 2030.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, jumlah itu dijangka meningkat berbanding anggaran 49,000 orang pesakit pada tahun lalu.
Justeru, katanya, pemeriksaan awal perlu dilakukan supaya kualiti hidup dan intervensi pesakit dapat dipertingkatkan.
“Kelewatan rawatan akan membawa kepada diagnosis lewat. Semua pihak perlu bekerjasama membantu meningkatkan kesedaran tentang bahaya dan rawatan kanser.
“Kami sedar kesempitan wang yang perlu dihadapi pesakit jadi sektor awam dan swasta perlu terus tingkatkan kecelikan kesihatan melalui program pendidikan dan kesedaran,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran ‘National Thrive Week’, baru-baru ini.
Program tersebut dianjurkan oleh Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Rangkaian Kanser Paru-paru Malaysia (LCNM), Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan Pfizer Malaysia sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara dan Bulan Kesedaran Kanser Paru-paru bulan Oktober dan November. – KOSMO! ONLINE