BANDAR RAYA MEXICO – Bandar Raya Mexico berjaya memecah Guinness World Records apabila 3,935 peserta mengambil bahagian dalam kelas kecergasan bermain trampolin selama 45 minit secara serentak, lapor agensi berita United Press International kelmarin.
Ketua pentadbiran Bandar Raya Mexico, Claudia Sheinbaum mengumumkan kejayaan mereka di laman Twitter dan berkata, acara itu berjaya memecah Guinness World Records kelas trampolin terbesar di dunia.
Acara tersebut diadakan di Plaza del Plinth, Ahad lalu.
Menurut penganjur, lebih 4,000 peserta melompat di atas trampolin ketika kelas tersebut bermula, namun 130 daripada mereka hilang kelayakan.
Ia menjadikan jumlah akhir peserta adalah seramai 3,935 orang.
Beberapa minggu sebelumnya, para peserta perlu mendaftar untuk menyertai acara tersebut menerusi laman web rasmi Dewan Bandaraya Iztapalapa, di mana syarat yang ditentukan adalah mereka perlu berumur antara 14 tahun hingga 60 tahun.
Peserta juga diwajibkan menyertai kelas tersebut dari mula hingga akhir, dengan tempoh masa selama 45 minit.
Cubaan untuk memecahkan rekod dunia itu disaksikan wakil daripada Guinness World Records. – Agensi