LONDON – Penduduk di Somerset, England gempar susulan laporan tular di media sosial mengenai individu berpakaian badut menakut-nakutkan orang ramai sambil memegang gergaji rantai mainan, lapor akhbar Daily Star semalam.
Penduduk yang tinggal dekat laluan bawah tanah A370 di Worle berkata, badut itu bersembunyi dan tiba-tiba muncul untuk menakut-nakutkan orang awam yang menyeberang laluan berkenaan.
Mereka memberi amaran kepada orang ramai selepas beberapa kejadian ‘usikan’ dikatakan berlaku pada hujung minggu lalu.
Antara mangsa badut tersebut ialah seorang lelaki bersama kanak-kanak berumur enam tahun. Badut seram itu melompat keluar di hadapan mereka.
Trend badut menakut-nakutkan orang ramai dikatakan berasal daripada sebuah novel seram karya Stephen King keluaran 1986.
Badut jahat yang menari dalam novel itu menakut-nakutkan kanak-kanak selepas dia dirasuk oleh syaitan.
Buku itu kemudian diadaptasi untuk tayangan televisyen pada 1990 dan pada 2017, trend gurauan Badut Pembunuh itu pertama kali bermula.
Laporan pertama adalah mengenai seorang badut yang berdiri berhampiran kawasan hutan sambil berbisik dan menakut-nakutkan kanak-kanak. Beberapa dakwaan mengatakan bahawa mereka mengajak kanak-kanak memasuki hutan.
Sekolah-sekolah pula menjadi sasaran gurauan tersebut dengan anggota polis di seluruh Britain menyelar tindakan itu.
Trend tersebut bagaimanapun tamat begitu sahaja. – Agensi