ST LOUIS, MISSOURI – Sekurang-kurangnya tiga orang terbunuh termasuk suspek, manakala tujuh yang lain cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah tinggi di negeri Missouri, Amerika Syarikat (AS), lapor Badan Penyiaran British (BBC) kelmarin.
Penyerang dikatakan memasuki kawasan sekolah Central Visual & Performing Arts High School di bandar St Louis sejurus selepas pukul 9 pagi (waktu tempatan) kelmarin.
Menurut laporan, pintu bangunan sekolah tersebut dikunci ketika itu, justeru tidak dapat dipastikan bagaimana suspek boleh memecah masuk ke dalam bangunan tersebut.
Beberapa saksi berkata, banyak nyawa lain terselamat selepas senjata digunakan suspek gagal berfungsi ketika serangan berlaku, menyebabkan polis dapat ‘menghentikan’ serangan dengan pantas.
Suspek yang berumur 19 tahun merupakan bekas pelajar sekolah tersebut. Dia dilaporkan berbalas tembakan dengan pihak polis sebelum mati akibat kecederaan yang dialaminya.
Motif serangan dan hubung kait suspek dengan sekolah tersebut masih belum diketahui.
Serangan itu mengakibatkan seorang remaja perempuan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang wanita maut ketika dirawat di hospital, kata polis.
Menurut media tempatan, tujuh mangsa yang cedera iaitu tiga pelajar perempuan dan empat lelaki, mengalami kecederaan ringan.
Komisioner Polis, Michael Sack berkata, tujuh pengawal keselamatan sekolah berkenaan bertindak pantas dengan memberitahu kakitangan mengenai serangan tersebut serta menghubungi polis.
“Suspek didapati membawa beratus-ratus butir peluru yang disusun di dalam hampir 12 kelopak senjata api berkapasiti tinggi.
“Keadaan mungkin menjadi lebih buruk,” katanya.
Berdasarkan data akhbar Education Week, sekurang-kurangnya 35 insiden tembakan dengan sekurang-kurangnya seorang terbunuh atau cedera berlaku di sekolah-sekolah AS sepanjang tahun ini. – Agensi