LANGKAWI – Lebih banyak operator feri perlu dibenarkan beroperasi dalam usaha mengatasi masalah kekurangan trip pengangkutan utama itu dari jeti di Kuala Kedah dan Kuala Perlis ke Langkawi.
Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pelancongan Langkawi (LTA), Zainudin Kadir berkata, ketika ini, terdapat satu konsortium yang menguruskan beberapa syarikat feri di bawah satu bumbung.
Katanya, keadaan itu menyebabkan penduduk tiada pilihan dan terpaksa berdepan masalah perjalanan feri yang terhad dan tidak menentu.
“Kalau diikutkan selepas lebih setahun dibuka, industri pelancongan Langkawi sepatutnya sudah pulih, tetapi disebabkan isu feri yang mengambil masa terlalu lama untuk diselesaikan menyebabkan pemain industri pelancongan terkesan.
“Pelancong menjadi fobia untuk ke Langkawi kerana mereka telah menempah kereta sewa dan hotel, tetapi bila hendak membeli tiket feri secara dalam talian, selalunya sudah penuh.
“Kalau beli tiket di kaunter tiket pula, keadaan sama juga berlaku kerana waktu perjalanan feri tidak menentu,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut Zainudin, sekiranya ada syarikat feri penumpang baharu dan beroperasi secara berasingan, ia akan menimbulkan persaingan seterusnya dapat memulihkan perkhidmatan pengangkutan air tersebut.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Zainudin menyatakan beliau tidak bersetuju dengan statistik kemasukan pelancong yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).
Jelas beliau, statistik yang tinggi itu bukan sahaja kurang tepat, malah menyebabkan kerajaan seperti tidak mengambil perhatian dengan masalah di Langkawi kerana melihat statistik tersebut.
Ujarnya, statistik tersebut perlu mengambil kira penumpang feri yang datang untuk melancong, bukannya penduduk tempatan untuk dijadikan kayu ukuran yang tepat mengenai pendapatan daripada industri pelancongan di Langkawi.
“Kita perlu menunjukkan kebenaran mengenai situasi sebenar di Pulau Langkawi. Sekarang kita kata perjalanan feri tidak mencukupi, tetapi statistik menunjukkan ramai pelancong masuk. Jadi kerajaan lihat mereka akan kata Pulau Langkawi tidak ada masalah,” katanya.