PAPAR – Seramai 36 pelajar serta empat guru sekolah tahfiz berdepan detik cemas apabila satu blok bangunan menempatkan asrama, dewan makan serta tandas terbakar dalam kejadian di Kampung Sungai Padang awal pagi tadi.
Bagaimanapun, kebakaran itu hanya memusnahkan 40 peratus struktur bangunan dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu.
Jurucakap Pusat Gerakan (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu sekitar pukul 5.36 pagi.
“Seramai 10 pegawai dan anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BB) Papar terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Kejadian membabitkan asrama jenis kekal dengan keluasan 111.4 meter persegi yang hanya mengalami kebakaran sekitar 40 peratus.
“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter dengan dua pancutan dari sumber air dari pili bomba berhampiran,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurutnya, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam kejadian berkenaan dan api berjaya dikawal pada pukul 6.25 pagi.
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada pukul 6.41 pagi.
“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE