KOTA BHARU – Mahu memancing sambil menyaksikan pemandangan indah terutama pada waktu senja dengan penginapan menghadap Sungai Badang, ia mampu diperoleh di Idaman PCB Riverview di sini.
Pengunjung boleh memilih sama ada mahu bermalam di bilik chalet atau pun glamping, yang mana masing-masing mempunyai keunikan serta tarikan tersendiri.
Terletak di Kampung Pulau Pasir, Semut Api di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Idaman PCB Riverview yang diusahakan pasangan suami isteri, Zainun Salleh, 53, dan Wan Yusuff Ismail, 57, sangat menarik perhatian dengan pemandangan alam semula jadi yang indah.
Menawarkan empat buah chalet, tiga kemudahan glamping dan kolam renang, pengunjung juga berpeluang melakukan aktiviti berkayak serta menaiki bot menjelajah Sungai Badang.
Zainun berkata, Idaman PCB Riverview bermula sejak 2016 bermula dengan hanya satu bilik.
Katanya, pelanggan utama yang memilih Idaman PCB Riverview adalah pasangan yang baharu berkahwin dan mahu menikmati bulan madu, untuk sambutan hari jadi serta mereka yang gemarkan aktiviti memancing.
“Tarikan utama di sini semestinya adalah glamping dan saya difahamkan di sini satu-satunya lokasi yang menawarkan kemudahan glamping di Kelantan. Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan tempahan untuk glamping sudah penuh sehingga Januari tahun depan.
“Chalet turut mendapat sambutan menggalakkan dan boleh dikatakan hampir setiap minggu penuh. Kebanyakan pengunjung memang tidak akan melepaskan peluang untuk merasai pengalaman memancing dari chalet atau kemudahan glamping masing-masing.
“Syukur Alhamdulillah dengan sambutan hangat yang diterima. Kami turut menyediakan kayak serta bot untuk mereka yang berminat, selain kemudahan barbeku untuk pengunjung,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, harga yang dikenakan untuk chalet adalah RM120 satu malam, manakala bagi kemudahan glamping, ia berharga RM150 dan RM190 bagi pemandangan sungai.
“Setiap unit glamping boleh memuatkan sehingga lima orang dan ia turut memiliki kemudahan penghawa dingin serta tandas khas yang terletak bersebelahan unit glamping masing-masing.
“Memandangkan sambutan pelanggan, terutama untuk aktiviti glamping kini di luar jangkaan, kami dalam proses menyiapkan satu lagi unit glamping yang berada di atas air dan ia dijangka bakal beroperasi tidak lama lagi,” katanya yang turut berhasrat menambah beberapa lagi kemudahan glamping dalam masa terdekat.
Orang ramai yang mahu membuat tempahan chalet atau glamping boleh berbuat demikian menerusi booking.com dan Facebook Idaman PCB Riverview, atau hubungi Zainun sendiri di talian 013-9079373.
Mengulas mengenai modal untuk membangunkan perniagaan berkenaan, Zainun berkata, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) banyak membantu dari segi suntikan modal dan sehingga kini, dia masih bersama AIM.
Katanya, dia bermula dengan AIM pada 2011 dengan membuat pembiayaan RM3,000 dan jumlah itu semakin meningkat sehingga hari ini.
“Saya sudah pastinya akan terus bersama AIM untuk membesarkan lagi perniagaan yang kami usahakan ini. Terima kasih AIM yang telah terlalu banyak membantu saya sehingga kini,” katanya.