fbpx

AIM perkukuh kedudukan usahawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROZAIDAH menunjukkan dodol Tok Bri yang kini mendapat sambutan baik pasaran.

BALIK PULAU – Kegigihan Rozaidah Mohd. Kasim, 55, menghasilkan pelbagai pes masakan dan dodol asli ternyata berbaloi selepas perniagaan yang diusahakan sejak 11 tahun lalu kini semakin berkembang.

Bagi wanita ini, segala penat lelah yang dirasai selama ini menjadi memori indah tersendiri apabila produk jenama Tok Bri yang dijual secara fizikal dan dalam talian mendapat sambutan memberangsangkan.

Katanya, pes masakan ditawarkan ialah tiga pes rendang iaitu pes rendang pedas, rendang hitam dan rendang tok yang sentiasa menjadi pilihan pelanggan.

“Selain itu, dodol asli, pandan dan durian juga menjadi antara produk paling laris di pasaran kerana rasanya yang unik dan insya-Allah menepati selera,” katanya ketika ditemui di Kuala Sungai Pinang, di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rozaidah berkata, terdapat banyak cabaran yang dihadapi tatkala mahu menstabilkan jenama yang dibawa atas faktor persaingan dan kos bahan mentah yang sentiasa naik dan turun.

“Persaingan memang hebat memandangkan terdapat ramai pengusaha lain yang turut menghasilkan pes masakan dan dodol.

“Selain itu, harga bahan mentah yang tidak menentu menyukarkan kami mengekalkan harga produk jualan.

“Sebarang langkah menaikkan harga sekiranya tidak boleh dielakkan harus dilakukan secara berhati-hati dengan mengambil kira sentimen pelanggan kerana mereka mudah beralih kepada jenama lain yang menawarkan harga lebih rendah,” katanya.

Rozaidah menambah, dalam suasana ekonomi yang tidak menentu tahun lalu, syarikatnya masih mampu mencatatkan keuntungan sebanyak RM96,000.

“Purata keuntungan bulanan adalah dalam lingkungan RM5,000 sehingga RM8,000 dan kami akan terus berusaha untuk mempelbagaikan promosi bagi mengukuhkan jenama Tok Bri.

“Tahun depan, saya merancang untuk mengeluarkan pes asam pedas dan pes sambal yang dapat memudahkan pembeli menyediakan hidangan dengan lebih pantas, namun masih mengekalkan rasa asli masakan,” ujarnya.

Bagi memastikan kebersihan dan keselamatan serta memperoleh keyakinan pengguna, Rozaidah sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan halal bagi kilangnya menerusi bantuan, bimbingan dan latihan yang disediakan oleh Unit Pembangunan Usahawan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM).

Jelasnya, dia berasa bertuah kerana berpeluang bernaung sebagai Sahabat AIM sejak 11 tahun lalu.

“Sejujurnya, saya terharu kerana berjaya mengembangkan perniagaan dengan suntikan modal daripada AIM dan setakat ini, sebanyak sepuluh pinjaman telah dibuat menerusi organisasi terbabit.

“Sahabat AIM akan dibimbing sehingga benar-benar stabil supaya perniagaan yang diusahakan lebih maju dan AIM diharapkan dapat terus menabur bakti membantu usahawan yang mahu bermula dari bawah,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan dodol dan pes Tok Bri, bolehlah menghubungi Rozaidah di talian 019-5905334 atau boleh layari Facebook Dodol Tok Bri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI