KUALA LUMPUR – Penyanyi Amir Masdi menafikan bahawa dia menjalin hubungan istimewa dengan rakan industri, Shila Amzah seperti tanggapan segelintir pihak.
Menurut penyanyi Sepi Sekuntum Mawar Mewah itu, hubungannya dengan Shila tidak lebih sekadar kawan biasa walaupun pernah beberapa kali bermain badminton.
Amir memberitahu, dia belum terbuka hati untuk menjalin hubungan cinta kerana mahu memberi fokus dalam karier nyanyian dan meletakkan batas sempadan apabila bersahabat dengan kaum wanita.
“Kami mula berkawan selepas program Masked Singer dan berjumpa semula dalam sebuah majlis sambutan Aidilfitri. Selepas itu kami menyertai kumpulan badminton yang sama.
“Ada ramai lagi selebriti dalam pasukan (badminton) yang ditubuhkan sejak tahun lalu itu termasuk pengacara, Haziq. Cuma Shila sahaja yang baru menyertai kami.
“Sebenarnya kami jarang berhubung kecuali atas urusan kerja atau jika kebetulan mendapat undangan persembahan di lokasi sama. Hakikatnya memang kami tiada apa-apa (hubungan). Saya selesa solo, boleh fokus kepada kerja,” katanya.
Amir berkata demikian selepas Konsert Hype Night di ibu negara kelmarin.
Mengulas mengenai desas-desus keakraban dengan penyanyi berusia 32 tahun itu, Amir mengakui masih terkejut apabila digosipkan dengan ibu tunggal anak satu tersebut.
“Saya suka berkawan dengan semua orang, tetapi lebih selesa memilih tidak terlalu rapat bagi mengelakkan salah faham. Begitu juga berkawan dengan wanita termasuk Shila.
“Langkah ini juga dapat mengelakkan sebarang salah tafsiran atau membiarkan persahabatan melarat ke arah yang kita tidak inginkan,” katanya.
Selain Amir, Konsert Hype Night yang menggabungkan artis Malaysia dan Indonesia turut membariskan Ezad Lazim, Najwa Latif, Tri Suaka, Nabilah Maharani, Zidan, Angga Candra dan Valdy Nyok.
Sebelum ini video nyanyian duet Amir dan Shila menerusi lagu Baldu Biru yang dikongsi dalam TikTok mendapat pujian ramai, bahkan ada peminat mendakwa Amir memandang teman duetnya itu dengan sepenuh perasaan. – KOSMO! ONLINE