fbpx

Pengundi 18 perlu lebih cakna, bijak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

“Betul ke saya boleh mengundi? Saya tak daftar pun, macam mana nak undi?”

Itulah antara jawapan daripada segelintir anak muda yang berumur 18 hingga 20 tahun apabila ditanya tentang keterujaan mereka untuk mengundi buat kali pertama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November nanti.

Walaupun, pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mewartakan tentang kelayakan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik pada 15 Disember 2021, namun nampaknya masih ada dalam kalangan 1.2 juta pengundi daripada golongan terbabit yang masih tidak tahu tentang hak mereka untuk mengundi.

Mungkin disebabkan sebahagian daripada mereka kurang cakna, atau mesej daripada pihak SPR sendiri yang tidak sampai kepada mereka. Apa pun, golongan tersebut mewakili sebanyak 5.4 peratus daripada 21.1 juta pemilih berdaftar yang diwartakan SPR untuk PRU15 nanti dan mereka bakal memainkan peranan yang besar dalam menentukan hala tuju negara.

Seharusnya mereka kini bukan sahaja telah dilengkapkan dengan pengetahuan mengenai hak sebagai pemilih, malah turut bersedia dalam menentukan calon-calon yang berwibawa untuk menerajui negara.

Jadi masih belum terlambat rasanya bagi pihak SPR serta pihak-pihak yang terlibat untuk memastikan mesej mengenai Undi18 benar-benar sampai kepada 1.2 juta golongan itu. Pelbagai saluran boleh digunakan untuk tujuan itu supaya semua individu yang terlibat dapat menyemak mengenai status kelayakan mengundi masing-masing.

Jika mesej ini tak sampai, kita bimbang ada dalam kalangan mereka yang tidak keluar mengundi, bukan kerana enggan berbuat demikian, tetapi kerana tak tahu pun boleh mengundi.

Kepada orang-orang muda yang layak mengundi ini pula, seharusnya gunalah peluang yang diberi ini dengan sebaik mungkin dengan turut memainkan peranan bagi mengembalikan kestabilan politik dengan memilih pemimpin yang benar-benar kompeten untuk mentadbir negara.

Pemilihan pemimpin yang layak, cekap dan mampu menjalankan tugas dengan sempurna sudah tentu akan dapat memacu negara ke landasan yang betul dan bergerak ke hadapan meliputi semua aspek termasuk mengukuhkan ekonomi, kestabilan politik dan menjaga keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Pastinya kita semua mahu Malaysia kembali menjadi kuasa ekonomi yang disegani dan para pelabur asing kembali menjadikan negara sebagai destinasi utama pelaburan mereka di rantau ini. Sudah tentu semua itu hanya boleh dicapai jika kita dapat mengenal pasti pemimpin yang benar-benar berpengetahuan dan bijak merencana bagi menggerakkan negara ke arah itu.

Ia bukanlah tugas yang mudah, tetapi dengan memilih pemimpin yang tepat dan berwibawa, termasuk memiliki pasukan kepimpinan yang mantap, diyakini dan berkebolehan, semua itu tidak mustahil dicapai.

Jadi kepada pengundi muda, anda semua perlu sensitif dan cakna kepada semua perkembangan ini kerana ia akhirnya bakal menentukan nasib dan masa depan anda semua. Mengundilah dengan bijak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI